
Sejujurnya, buku Rich Dad Poor Dad karya Robert Kiyosaki antara buku pendidikan ilmu perancangan kewangan peribadi yang benar-benar membuka mata saya tentang perancangan kewangan peribadi sebenar dan gaya bahasa penulisan yang mudah orang awam seperti saya untuk memahaminya. Ia bukan sekadar tentang cara mencari duit, tetapi tentang cara berfikir mengenai wang, sesuatu yang jarang atau langsung tidak diajar di sekolah.
Dalam buku ini, Robert Kiyosaki menceritakan pengalamannya dibesarkan oleh dua orang “ayah” iaitu ayah kandungnya yang dipanggil sebagai Poor Dad dan ayah kepada sahabatnya Mike yang dipanggil Rich Dad. Robert Kiyosaki sayang kedua-dua ayahnya ini, tetapi mereka mempunyai pandangan yang sangat berbeza tentang pendidikan, kerja, dan kewangan.

1. Dua Dunia, Dua Falsafah Hidup
Poor Dad percaya bahawa pendidikan formal dan pekerjaan tetap yang terjamin adalah jalan kejayaan. “Belajar rajin-rajin supaya dapat kerja bagus,” katanya. Sebaliknya, Rich Dad menasihatkan supaya untuk belajar memahami bagaimana wang bekerja, bukan sekadar bekerja untuk wang.
Perbezaan cara berfikir inilah yang menjadi titik tolak kepada keseluruhan mesej buku ini. Saya sedar, ramai antara kita juga dibesarkan dengan nasihat seperti Poor Dad, kerja kuat, kumpul duit, beli rumah, dan harap semuanya akan baik. Tetapi realitinya, dunia sekarang sudah berubah. Dulu kita mengejar untuk mendapatkan kerja dengan kerajaan supaya kita dapat pencen tetapi sekarang mungkin pencen sudah tiada. Kita mengharapkan subsidi dari kerajaan, tetapi sampai bilakah kerajaan nak beri subsidi, lambat laun akan ditarik juga subsidi.
2. Wang Bukan Masalah, Cara Fikir Itu Yang Utama
Satu ayat dalam buku ini yang betul-betul melekat di kepala saya ialah:
“Masalah sebenar bukan kekurangan wang, tetapi kekurangan ilmu dan cara berfikir tentang wang.”
Saya perasan, apabila kita sering berkata “saya tak mampu”, minda kita berhenti mencari jalan. Tapi bila kita ubah kepada “macam mana saya boleh mampu?”, tiba-tiba muncul idea, peluang dan cara baharu. Itulah kekuatan cara fikir (mindset). Ia menentukan sama ada kita terus terperangkap dalam kesempitan, asyik mengeluh atau mula mencari jalan keluar.
3. Bezakan Antara Aset dan Liabiliti
Inilah bahagian paling penting yang saya pelajari, apa itu dan apa perbezaan antara aset dan liabiliti.
• Aset: sesuatu yang memasukkan wang ke dalam poket kita.
• Liabiliti: sesuatu yang mengeluarkan wang dari poket kita.
Robert Kiyosaki menyedarkan saya bahawa ramai orang sebenarnya keliru. Kita sangka rumah besar dan kereta mewah itu “pelaburan”, sedangkan setiap bulan kita perlu keluarkan duit untuk bayar pinjaman, cukai, dan penyelenggaraan. Itu liabiliti, bukan aset.
Aset sebenar ialah perkara yang menjana pendapatan walaupun kita tidak bekerja, contohnya pelaburan hartanah, emas, saham atau bisnes yang beroperasi sendiri.
4. Pendidikan Kewangan Lebih Penting Daripada Gaji Tinggi
Buku ini juga menekankan tentang pendidikan kewangan. Ia bukan bermaksud belajar perakaunan atau ekonomi semata-mata, tetapi belajar cara mengurus, melabur, dan melindungi wang kita.
Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, inflasi meningkat dan kos sara hidup naik, kita perlu lebih bijak memahami aliran wang tunai (cashflow). KWSP, simpanan, dan pelaburan bukan lagi pilihan sampingan, ia sudah boleh dianggap sebagai keperluan untuk masa depan.
5. Kebebasan Kewangan Bermula Dengan Keberanian Mengubah Diri
Robert Kiyosaki berulang kali menulis bahawa orang kaya tidak semestinya mempunyai gaji tinggi, tetapi mereka mempunyai ilmu, keberanian dan disiplin kewangan.

Beliau juga menulis:
“Orang miskin dan kelas pertengahan bekerja untuk wang. Orang kaya menjadikan wang bekerja untuk mereka.”
Saya amat bersetuju. Dunia hari ini memberi banyak peluang, tetapi hanya kepada mereka yang bersedia mengubah cara berfikir dan sanggup belajar perkara baharu.
Kesimpulan.
Bagi saya, Rich Dad Poor Dad bukan sekadar buku kewangan, ia buku tentang cara membina kebebasan hidup. Ia mengajar saya untuk berfikir jangka panjang, menilai semula perbelanjaan, dan mula membina aset sedikit demi sedikit.
Kalau anda baru mula mengenal dunia kewangan peribadi, inilah antara buku yang perlu dibaca. Mesejnya jelas:
“kekayaan sebenar bukan pada jumlah wang, tetapi pada kebebasan memilih cara hidup sendiri.”

